GBS
Saturday, 16 May 2015
Terima Kasih Cikgu!
Selamat Hari Guru diucapkan kepada yang bergelar pendidik anak bangsa demi pembangunan modal insan yang merangkumi keperibadian akhlak. Terima kasih atas jasamu wahai Cikgu, tanpa Cikgu tiadalah kami di muka bumi.
SEJARAH GELAP SARAWAK - RUSUHAN ANTI-MALAYSIA DI SARAWAK 1961-1963
Video ini adalah untuk tontonan semua warga Sarawak. Sememangnya sejarah Sarawak telah dimanipulasikan faktanya dengan kenyataan yang tidak benar di dalam buku sejarah terutamanya buku sejarah di sekolah. Pihak sekolah khususnya pendidik warga Sarawak haruslah menceritakan perkara yang sebenar tentang sejarah Sarawak.
Hal ini terjadi kerana kepentingan rakus oleh kepimpinan Malaya sejak bermula pembentukkan Malaysia. Kepimpinan Malaya yang di perintah oleh Tunku Abdul Rahman pada ketika dahulu hanyalah mahu mengeksplotasikan pendapatan dan sumber Sarawak yang kaya ini begitu juga dengan Sabah demi untuk pembangunan di Malaya. Secara benarnya ianya memang terjadi kalau kita lihat pada masa kini.
GBS bukanlah mahu menunjukkan sikap sentimen yang boleh merosakkan perpaduan rakyat Sarawak dengan rakyat semenanjung tapi ini adalah untuk membuka mata rakyat Sarawak bahawa kepimpinan Malaya yang bertopengkan Malaysia ini hanyalah membawa sia-sia dalam perjuangan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia.
ALLAHYARHAM ROSLI BIN DHOBY DAN RUKUN 13 “PENCETUS REVOLUSI KEMERDEKAAN NEGARA SARAWAK “
Bulan ini merupakan antara bulan yang istimewa bagi kita Bangsa Sarawak kerana bulan Julai merupakan Bulan Kemerdekaan bagi seluruh rakyat Sarawak Bumi Kenyalang. Bagi mengangkat bulan ini sebagai lambang kepada kemegahan kita bangsa Sarawak, team admin Borneo Oracle akan menyajikan artikel-artikel sejarah yang ada kena mengena dengan kemerdekaan Sarawak. 22hb Julai ini genaplah 51 tahun, Sarawak merdeka daripada jajahan Koloni British Borneo dan kita akan memulakan artikel kemerdekaan ini dengan artikel untuk bangsa Sarawak mengenali sejarah perjuangan bangsa Sarawak iaitu antaranya adalah perjuangan mereka yang di dalam Rukun 13. Artikel kali ini adalah Allahyarham Rosli bin Dhoby & Rukun 13 “Pencetus Revolusi Kemerdekaan Negara Sarawak”.
Bagi penjajah Koloni British, mereka digelar "Pembunuh" tetapi bagi kami Bangsa Sarawak merekalah "Pahlawan Sejati Bangsa Sarawak" kerana apa yang mereka lakukan adalah untuk tanahair yang tercinta iaitu Negara Sarawak. Allahyarham Rosli bin Dhoby. Dan Rukun 13, mungkin namanya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sejarah ketokohannya tercatit dimana-mana sebagai antara pelopor revolusi kemerdekaan Negara Sarawak dibawah cengkaman Kerajaan British Borneo suatu waktu dahulu. Namun begitu berapa ramai yang benar-benar mengenali sejarah perjuangan bangsa Sarawak ini di dalam rentetan sejarah kemerdekaan Negara Sarawak. Usianya ketika itu baru 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan. Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British Borneo mati di tali gantung pada 2hb Mac 1950. Beliau didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Borneo kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau “badek” di Sibu pada 3 Disember, 1949.
Anak muda Bangsa Sarawak yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS). Daripada GPMS inilah terbentuknya Rukun 13 yang ditubuhkan bagi menentang tindakan Rajah Ketiga Negara Sarawak iaitu Sir Charles Vyner Brooke yang berpantang arang mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial British di London selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. Ini kerana selepas peperangan itu, Sir Charles Vyner Brooke dikatakan sudah bosan memerintah dan ditambah lagi peperangan itu telah menyebabkan kerugian yang banyak akibat kemusnahan perang pada Negara Sarawak. Sir Charles Vyner Brooke yang sememangnya terkenal sebagai pemerintah Negara Sarawak yang gemar bersosial telah dikatakan menyerahkan Negara Sarawak kepada Kerajaan Mahkota British dengan sedikit imbuhan. Tindakan ini sebenarnya telah menyebabkan kemarahan dan bantahan daripada Bangsa Sarawak pada waktu itu kerana Sir Charles Vyner Brooke telah memungkiri janji iaitu untuk menyerahkan Negara Sarawak kepada pemerintahan Bangsa Sarawak sendiri. Sejajar dengan itu maka terjadilah apa yang dipanggil Anti-Penyerahan Negara Sarawak 1946.
Rosli adalah salah seorang anggota kumpulan Rukun 13 dalam GPMS. GPMS yang menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Sarawak diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu salah satu pembesar Melayu Sarawak yang tersohor di zaman Sir Charles Vyner Brooke memerintah Sarawak Kingdom. Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka. Rukun 13 telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan tatkala Gabenor yang baru dilantik itu membuat kunjungan kerja ke Sibu pada Disember 3, 1949. Pada jam 9.30 pagi di hari itu, Rosli telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang dipanggil Badik. Rosli dan Morshidi Sidik akhirnya ditangkap oleh anggota polis British Borneo pada waktu kejadian manakala rakan-rakannya yang lain telah diburu oleh pihak polis besar-besaran selepas kejadian tersebut. Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Gabenor Sir Duncan akhrinya meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.
Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morshidi serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching. Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan di dalam kawasan penjara tersebut. Keempat-empat pejuang nasionalis ini dikebumikan semula di Sibu pada 2 Mac, 1996, di Sibu, selepas upacara rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak kelima Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor yang juga suatu waktu dahulu antara sahabat mereka di Sibu, Sarawak.
Inilah sekelumit ruang informasi tentang Perjuangan Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13 daripada Borneo Oracle untuk sumber perkongsian kita Bangsa Sarawak sekarang. Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13 telah mengwujudkan satu fenomena kearah perjuangan anti-penyerahan kepada Kerajaan British Borneo pada waktu itu. Al-fatihah untuk Almarhum Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Amin.
Salute to Rosli Dhoby & Rukun 13
Sumber: Borneo Oracle
SEJARAH BENDERA YANG PERNAH DAN MASIH BERKIBAR DI BUMI SARAWAK
Bendera merupakan salah satu daripada tanda penghormatan kepada kewujudan sebuah bangsa di dalam hal yang bergelar sebuah Negara. Jadi bendera merupakan adalah salah satu daripada yang harus dibangga dan dihormati bagi setiap anak bangsa. Mengibarkannya dengan cara yang betul dan tidak sembrono tanpa mengambil kira makna di sebalik kewujudan bendera itu juga harus jangan dipandang enteng. Untuk artikel kali ini Borneo Oracle akan memberikan sedikit ruang informasi untuk kita cuba menyoroti sejarah bendera-bendera yang pernah dan masih berkibar dengan megah di bumi Sarawak bermula daripada Sarawak (Kuching) yang menjadi dibuka oleh Pengeran Indera Mahkota yang merupakan Gabenor Sarawak yang pertama sehinggalah empayar Sarawak meluas menjadi Sarawak Kingdom dibawah tahun 1841 di bawah pemerintahan lebih kurang 100 tahun Dinasti Rajah Putih Keluarga Brooke dan seterusnya sehingga Sarawak bersama-sama membentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan 3 buah lagi Negara yang merdeka iaitu Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo (Sabah) dan Singapura (menarik diri pada 2hb Ogos 1965).
Apabila menyoroti sejarah bendera yang berkibar di bumi Sarawak ianya harus dimulai dengan sejarah Sarawak dibawah Kesultanan Brunei Darussalam. Sebelum tahun 1906, Negara Brunei Darussalam tiada mempunyai bendera kebangsaan, walau bagaimanapun bendera-bendera perseorangan atau panji-panji peribadi banyak digunakan pada waktu itu. Bendera Sultan dan bendera wazir-wazir adalah yang sangat mustahak di antara bendera-bendera perseorangan yang digunakan sebelum tahun 1906. Pada zaman dahulu, Brunei mempunyai empat orang wazir atau pembesar-pembesar negara yang utama yang diberikan kuasa-kuasa pemerintahan dan pentadbiran oleh Sultan mengikut pangkat masing-masing. Wazir yang kanan sekali pada masa itu ialah Pengiran Bendahara. Wazir-wazir yang tiga orang lagi itu jika mengikut kebesaran pangkat masing-masing ialah Pengiran Digadong, Pengiran Pemancha dan Pengiran Temenggong. Jadi untuk Sarawak (Kuching) dibawah Pengiran Indera Mahkota hanya bendera atau panji-panji peribadi kepada Pengiran Indera Mahkota yang akan dinaikkan di Sarawak pada masa itu.
Permulaan kepada sejarah bendera ini akan dimulai dengan sejarah bendera peribadi kepada Rajah Pertama Negara Sarawak iaitu Rajah James Brooke. Pada 24hb September 1841 sehingga 20hb September 1848 telah berkibar bendera Rajah Sarawak yang diberikan nama “The Flag of Swallowtail St George”. Pada ketika ini Negara Sarawak bukanlah sebesar Sarawak sekarang tetapi ianya hanya meliputi sempadan Tanjung Datu sehingga ke Sungai Sadong. Ianya dikibar dengan megahnya buat kali pertama di kubu Rajah Brooke di Belidah iaitu di kawasan Bau. Selain daripada itu bendera ini juga dikibarkan dengan megah di atas kapal-kapal perang Rajah Brooke sewaktu beliau meluaskan empayar jajahan Negara Sarawak pada waktu itu.
Negara Sarawak hanya mempunyai bendera rasmi pada tahun 1848 iaitu pada ketika itu jajahan Negara Sarawak telah mencakupi Tanjung Datu sehingga ke Sungai Oya di Sarikei. Ianya adalah hasil idea daripada Rajah James Brooke sendiri dan ianya berkibar megah selama 7 tahun iaitu dari 21hb September 1848 sehingga ke 6hb Mei 1870. Bendera inilah yang berkibar di semua bangunan rasmi dan kubu-kubu serta kapal-kapal perang untuk Negara Sarawak pada waktu itu.
Sekitar tahun 1870, Rajah Charles Brooke telah naik takhta sebagai Rajah Sarawak yang kedua telah menukar warna bendera yang pertama kepada bendera yang baru. Walaupun tiada dokumen sejarah yang membenarkan cerita di sebalik penukaran ini namun secara sejarah oral dikatakan bahawa penukaran bendera ini berlaku atas sebab-sebab yang tertentu. Dikatakan bahawa sewaktu Rajah Charles Brooke dimahkotakan sebagai Rajah Sarawak yang kedua, rakyat jelata Negara Sarawak ketika itu telah memberikan tandamata kepada beliau dan salah satunya adalah daripada etnik Dayak Sarawak yang memberikan beliau hadiah yang dibungkus di dalam kain berwarna hitam. Manakala daripada etnik Melayu Sarawak pula menghadiahkan hadiah mereka di dalam kain yang berwarna kuning dan masyarakat Cina Sarawak pula menghadiahkan hadiah mereka di dalam kain yang berwarna merah. Ketiga-tiga warna ini telah menarik minat Rajah Charles Brooke kerana bagi beliau ianya melambangkan sokongan daripada 3 masyarakat majmuk Negara Sarawak pada waktu itu. Demi memberi penghormatan kepada keutuhan dan kesepakatan masyarakat Negara Sarawak maka beliau dengan sendirinya mereka bentuk bendera yang kedua yang diguna pakai dari 7hb May 1870 sehingga 23 Disember 1941.
Apabila Perang Dunia Ke-2 meletus dan Negara Sarawak juga tewas di tangan tentera Matahari Terbit walaupun menjadi Negara Lindungan kepada British pada waktu itu namun kekuatan tentera Jepun amat sukar untuk dikalahkan maka pada 24hb Disember 1941 sehingga 14hb Ogos 1945 berkibarlah 2 bendera hak milik Negara Jepun. Bendera tersebut adalah bendera Negara Jepun dan juga bendera Tentera Negara Jepun. Bendera-bendera ini telah kali pertama dikibarkan di bumi Miri, Sarawak memandangkan disitulah kawasan yang mula dijejaki oleh tentera Negara Jepun. Selepas itu satu demi satu wilayah Sarawak telah mula mengibarkan bendera-bendera tersebut apabila tentera Jepun mula menguasai daerah demi daerah di Negara Sarawak pada waktu itu.
Pada tahun 1945, Jepun menyerah kalah kepada tentera Perikatan setelah pengeboman Hiroshima dan Nagasaki maka Negara Sarawak telah diserahkan pentadbirannya kepada salah satu Negara Perikatannya iaitu Negara Australia. Sepanjang tempoh Negara Sarawak dibawah pentadbiran tentera Negara Australia telah berkibar dengan megahnya bendera Negara Australia di bumi Sarawak pada masa itu iaitu dari 11hb September 1945 sehingga ke 15hb April 1946. Hanya setelah keamanan dan keadaan huru hara telah diselesaikan maka barulah bendera ini diturunkan dan digantikan dengan bendera Sarawak yang dahulu.
Pada tahun 1946, Rajah Charles Vyner Brooke telah menyerahkan Negara Sarawak kepada Kerajaan Mahkota British dan ini menyebabkan berlakunya bantahan besar-besaran daripada rakyat Sarawak pada masa itu yang dikenali sebagai Sarawak Anti-Cession 1946. Namun begitu bantahan ini tidak berjaya mengengkang tindakan Rajah Charles Vyner Brooke dan akhirnya pada 1hb Julai 1946, Negara Sarawak tetap menjadi salah satu tanah jajahan Kerajaan Koloni British. Pada ketika ini, bendera Union Jack dikibarkan diseluruh bumi Sarawak bersama-sama dengan bendera yang dikhaskan untuk Kerajaan British Borneo iaitu Kerajaan British yang memerintah Sarawak dan North Borneo pada waktu itu. Walau bagaimanapun, sebagai membezakan Negara Sarawak dengan tanah jajahan Koloni British pada waktu itu, berkibar bersama juga bendera Negara Sarawak sendiri. Bendera-bendera ini berkibar di bumi Sarawak dari Julai 1946 sehingga 16hb September 1963.
Apabila Sarawak merdeka daripada menjadi tanah jajahan Kerajaan British Borneo pada 22hb Julai 1963 bagi memberikan sebuah Negara baru yang merdeka iaitu Sarawak bersama-sama membentuk Gagasan Malaysia dengan 3 buah Negara yang lain iaitu Negara North Borneo, Negara Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Negara Singapura yang kemudiannya pengisytiharaan Gagasan Malaysia pada 16hb September 1963, bendera Sarawak tetap tidak bertukar malah ianya masih digunakan sehingga 10 tahun yang pertama. Pada tanggal 16hb September 1963 inilah berkibar bendera Gagasan Malaysia di bumi Sarawak disamping bendera Sarawak yang lama.
Bendera pertama Sarawak sebagai sebuah Negara yang membentuk Gagasan Malaysia hanya digantikan pada 31hb Ogos 1973 yang dinamakan “Trisakti”. Bendera ini adalah hasil ilham kepada Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu iaitu Tun Abdul Rahman bin Yaakub. Bendera “Trisakti” berkibar megah di bumi Sarawak disamping bendera Negara Malaysia dari 31hb Ogos 1973 sehingga 31hb Ogos 1988. Pada 31hb Ogos 1988 akhirnya Kerajaan Negeri Sarawak dibawah kepimpinan Pehin Sri Datuk Abdul Taib bin Mahmud iaitu Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu telah menukarnya kepada bendera yang digunapakai sehingga sekarang.
Inilah sejarah bendera-bendera yang pernah dan masih berkibarkan di bumi Sarawak buat ruang informasi bangsa Sarawak sekalian. Bendera-bendera ini juga mempunyai signifikasi di dalam menyatakan kaitannya dengan kemerdekaan dan kedaulatan Sarawak dulu dan sekarang. Ternyata setiap bendera mempunyai simboliknya yang tertentu yang majoritinya menggambarkan kesepaduan dan toleransi serta permuafakatan kaum dan identiti Sarawak itu sendiri. Hormatilah ianya dan jangan lupa untuk mengibarkannya di seluruh bangunan dan rumah milik individu bangsa Sarawak apabila menjelang hari kemerdekaan Sarawak yang sebenar nanti iaitu pada 22 Julai 2014 nanti kerana ianya melambangkan semangat patriotisme dan nasionalis kita sebagai Bangsa Sarawak dahulu, kini dan sekarang.
Sumber: Borneo Oracle
Mengenai Generasi Baru Sarawak
Sabtu, 16 Mei 2015
Untuk pengetahuan semua, GBS merupakan satu organisasi penyampaian maklumat dan informasi kepada masyarakat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya. Anda sebagai pembaca juga boleh memberi maklumat kepada kami tentang apa-apa sahaja yang berguna. Amat di alu-alukan kerjasama daripada pihak anda untuk penyampaian semasa.
GBS untuk semua.
Subscribe to:
Posts (Atom)